Aku lihat lautan terbentang luas di hadapanku. Jelas kedengaran bunyi deruan ombak serta burung berkicauan. Angin tepi pantai yang dingin membuatkan aku bergemeletuk seketika. Aku cuba untuk mengingati apa yang telah berlaku semalam.
Aku dan beberapa orang rakan yang lain pergi menghabiskan masa dua hari satu malam untuk melakukan aktiviti outdoor di kawasan pantai terkenal sekitar Mersing. Aku ada di sini bersama mereka di atas pelawaan P dan beberapa rakan aku yang lain untuk menyertai trip mereka. Hubungan aku dan P tidaklah begitu rapat sebelum ini. Namun segala-galanya berubah di sini. Terlalu banyak perkara yang berlaku dalam masa sesingkat ini.
Aku juga tidak berapa pasti bagaimana ia berlaku. It just happened. Namun aku ingat ketika aku dan P berjalan di sepanjang kawasan persisiran pantai sambil berbual-bual perkara random tentang kehidupan masing-masing. Kemudian kami menyertai rakan yang lain yang sedang riuh bermain air.
Pada mulanya aku dan P sengaja berkelakuan mesra untuk membuat bekas teman lelakiku, M, cemburu dan sakit hati. Hubungan kami memang dingin semenjak dia putuskan aku tanpa sebab hanya beberapa hari selepas sebulan kami bersama. Perempuan mana yang tak sakit hati? Dan sekarang dia seperti cuba untuk membina kembali apa yang dia sendiri pernah runtuhkan dahulu. Perempuan mana yang tak makan hati?
Aku anggap detik ini adalah sebuah detik pembalasan. Setiap tikaman di hatiku yang tekah dia hasilkan akan dibalas dengan tikaman juga. Ketika makan, aku menolong P mengasingkan sayuran kerana dia memang tak suka makan sayur. Aku juga suapkan makanan ke mulutnya. Aku dan P berdekah melihat riak wajah M yang obviously sangat sakit hati. Baru sekarang dia tahu erti penyesalan.
Namun tanpa ku sedari, we have turned into the sweetest couple. Rakan-rakan yang lain mulai membuat andaian yang bukan-bukan. Aku dan P cuma tersenyum. Tidak mengiyakan dan juga tidak menafikan.
Aku juga ingat ketika aku dan P sedang berbaring di tepi pantai memandang langit dan mengira bintang-bintang yang indah menghiasi langit malam. Pada waktu malam ketika aku terlena berdekatan dengan bara api, dia angkat aku masuk ke dalam khemah dan selimutkan aku. Dia juga dengan sukarela berikan tualanya kepadaku ketika aku menggigil kesejukan bermain hujan dan bawa aku berehat ke dalam khemah. Ketika dalam perjalanan pulang, P duduk di sebelahku. Semasa aku terlena di bahunya, aku perasan dia menggenggam erat tanganku. Aku tak tahu mengapa. Aku tersentap namun masih pura-pura tidur.
Semuanya yang aku lalui bersama P dua hari ini sangat sempurna. Malahan boleh aku katakan ianya cukup sempurna. Persis seperti apa yang aku angankan selama ini. Aku berada di tempat, keadaan, suasana dan masa yang betul. Tapi malangnya aku berada bersama orang yang salah. Sama sekali tidak benar. Dia bukanlah orang yang sepatutnya. Aku pejamkan mata dan cuba untuk senyum. Aku sangat bahagia berada dalam suasana ini namun jauh di dalam sudut hatiku berharap agar semua ini cepat berakhir.
Namun begitu, manusia mana yang tidak pernah melakukan kesilapan. Aku dan P telah bermain dengan perasaan kami sendiri. Sehinggakan mungkin ada hati yang terluka.
Biarlah mainan perasaan yang berlaku antara kita menjadi rahsia hati aku dan bersemadi sebagai memori.
Beribu kemaafan aku pohon kepada kau, P. Bukan niat aku untuk berbuat begitu kepada kau dan dia. Seandainya aku punya kuasa untuk memutarkan waktu, terlalu banyak perkara yang ingin aku katakan pada kau. Sumpah aku menyesal buat kau begitu. P, kenapa kau pergi dengan meninggalkan perasaan bersalah ini pada aku?
Tiada apa lagi yang mampu aku lakukan sekarang ini selain berdoa agar kau bahagia di samping-Nya dan ditempatkan di kalangan para shuhada. Amin.