Rabu, 27 Jun 2018

Mencari Sense of Belonging di Rumah Nombor 168





Jendela dibiarkan terbuka dan angin menerpa masuk. Aku biarkan tubuh dan wajahku dibelai angin malam.

Dingin.

Aku berpindah ke rumah nombor 168 ini kira-kira empat bulan yang lalu. Tak satu pun penghuni rumah ini yang aku kenal. Aku mencari kekosongan bilik sewa di internet dan ditemukan dengan Kak Anis. Beliau ingin keluar daripada rumah kerana bakal berpindah ke rumah baharu bersama suaminya. Menurut Kak Anis, penghuni rumah ini ada 10 orang semuanya. Tapi rumah ini tidak pernah terasa ramai. 

"Baguslah begitu," bisik hatiku.

Hanya empat daripada sepuluh penghuni yang aku kenal nama dan wajahnya. Yang lain, samada aku tak pernah bersua wajah (atau mungkin belum lagi) ataupun masing-masing yang tak berminat untuk bertegur sapa. Hampir kesemua penghuni rumah ini sudah bekerja. Jadi tak hairan jika kami jarang bertemu walaupun tinggal sebumbung. Rata-rata berangkat ke tempat kerja awal pagi dan pulang hanya bila senja menjelang.

Kebiasaannya aku akan duduk di ruang tamu jika ingin mencari inspirasi dan memerah idea menyiapkan tugasan kuliah. Aku tak betah duduk di bilik, ruang yang sempit buat aku rasa terkurung. Sekaligus menyekat segala idea yang ada di kepala untuk dilimpahkan. Tambahan lagi rakan sebilik aku lebih selesa membiarkan pintu bilik tertutup setiap masa; menggandakan lagi perasaan terpuruk itu. Tapi aku yakin aku bukan penghidap claustrophobia, mungkin aku hanya perlukan aliran udara yang baik. Jadi aku beransur ke ruang tamu demi menghormati preferences dan hak masing-masing.  

Aku nyalakan lampu dan kipas di ruang tamu. Komputer riba kuletakkan kemas di atas meja. Aku sumbat earphone ke telinga dan pasangkan playlist lagu yang aku sediakan khas untuk merangsang perkembangan idea. Rumah ini terletak di tingkat 12 jadi sesekala aku menjengah ke balkoni untuk lihat pemandangan malam. Aku berpeluk tubuh seorang diri menikmati malam bersama secawan teh hangat.

Rumah nombor 168 ini agak sunyi kerana terletak agak jauh daripada jalan besar dan lot kedai. Perkarangan rumah ini juga dikawal oleh kawalan keselamatan yang agak ketat. Ada pagar elektrik untuk mengawasi kenderaan keluar masuk. Tak seperti rumah nombor 9B aku yang lama itu. Terletak di blok paling belakang yang gelap dan terkenal dengan pelbagai kes jenayah terutamanya pecah rumah (walaupun ada balai polis yang terletak sebalingan batu dari rumah). Setiap malam pula riuh dengan pekikan motor mat rempit dan setiap pagi kecoh dengan bunyi hon serta penggera kereta gara-gara kereta double park yang menghalang laluan keluar.

Kedudukan rumah yang terletak di atas lot kedai dimeriahkan lagi dengan pekikan jejaka kaki bola yang bersorak ketika perlawanan ditayangkan di kedai tomyam bawah rumah. Tak cukup dengan itu, pintu rumah kami juga sering dikunjungi bunyi ketukan daripada penyewa rumah atas yang sengaja ingin mengusik. Jelas kedengaran bunyi dan suara mereka ketika menaiki tangga. Mungkin kerana kami satu-satunya penyewa perempuan bujang di tangga AC 2 tersebut jadi tak hairan lah jika mereka galak mengusik.

Rumah 9B itu aku sewa bersama enam penyewa yang lain. Mereka semua pelajar jurusan undang-undang semester lima. Hari pertama masuk menyewa aku sudah rancak berbual dengan Ummi, gadis Perlis yang merupakan rakan sebilik aku. Aku terhibur dengan loghat Perlis dia yang comel dan kelakar jadi aku dapat rasakan keserasian apabila kami berborak. Aku ambil masa tidak sampai sebulan untuk sesuaikan diri dengan persekitaran rumah dan orang baru. Tapi sayang, jodoh aku dengan rumah nombor 9B tak panjang. Selepas 6 bulan menyewa di situ, kami bertujuh terpaksa keluar atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan. Kami semua berpecah dan mencari rumah yang agak jauh sedikit dari kawasan rumah nombor 9B.

Walaupun rumah nombor 168 lebih sunyi dan selamat, hati aku masih memilih untuk lebih tinggal di rumah nombor 9B. Ada sesuatu di rumah 9B yang membuat aku lebih betah tinggal di sana; sense of belonging. Ketepikan segala pencemaran bunyi di sana, aku rasa selesa dan nyaman dengan suasana rumah 9B dibandingkan dengan rumah nombor 168. Di sana, aku dapat rasa sense of belonging, seakan rumah itu serta seluruh isinya menerima dan mengalu-alukan keberadaan aku. Kehadiran rakan serumah yang menyenangkan menguatkan lagi perasaan itu. Sesekali kami keluar menonton wayang bersama, menonton pertunjukan bunga api bersama, dan berbual kosong ditemani teh hangat serta cucur ikan bilis. Tiada perasaan janggal setiap kali bertembung di dapur seperti yang aku rasa di rumah nombor 168. Kami malahan santai melemparkan kata-kata kesat antara satu sama lain ibarat tiada lagi hari esok yang tinggal untuk berbuat demikian. Pokoknya, separuh jiwa aku berharap bahwa kami masih tinggal di situ. 

Aku tak pernah tergesa-gesa ingin pulang ke rumah nombor 168 setelah tamat kelas. Turun daripada bas, aku akan melangkah longlai menuju ke rumah. Dari jauh aku merenung bangunan 13 tingkat itu. Semakin dekat dengan bangunan itu, aku perhatikan setiap satu jendela dan lihat jendela bilik aku di tingkat 12. Memang sengaja aku biarkan terbuka sepanjang masa. Setelah keluar dari perut lif, aku tak terus menuju ke rumah. Aku akan habiskan paling kurang 30 minit di tangga hadapan rumah yang menghubungkan ke tingkat 13. Sayangnya bangunan ini tidak ada access menuju ke rooftop (atau mungkin ada, cuma aku yang tak tahu). Jadi aku akan duduk di tangga yang agak terbuka itu dan perhatikan permandangan di sekitar bangunan itu. Kelihatan sekotak rokok yang sudah kosong dibiarkan di tepi tangga. Beberapa puntung rokok juga ada di atas lantai. Jelasnya bukan aku seorang saja yang sering menghabiskan masa di situ. Sesekali aku akan terdengar suara orang berbual berjam lamanya melalui telefon ditemani kepulan asap rokok di tangga. Bezanya dengan aku, aku hanya duduk seorang diri di sana. Tiada asap rokok mahupun panggilan telefon. Hanya aku sendiri.

Kesunyian rumah ini tak membuatkan aku tenang malah aku mula rasa rimas dengan kesunyian ini. Kesunyian rumah ini seperti membangkitkan kesunyian yang telah lama diam dan terpencil dalam diri aku. Aku rindukan bunyi-bunyi yang selalu menemani di rumah 9B dahulu. Dan yang paling penting, aku rindukan sense of belonging yang entah bila akan muncul di rumah nombor 168 ini.

Entah.